Friday, November 6, 2009

Manohara ingkar.

Anakanda Sultan Kelantan menang kes saman fitnah RM105 juta




KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, menang dalam kes saman fitnah RM105 juta yang dikemukakan terhadap isterinya, Manohara Odelia Pinot dan ibu mentuanya, Daisy Fajarina selepas memperoleh perintah penghakiman ingkar, semalam.

Mahkamah Tinggi di sini, mengeluarkan perintah penghakiman ingkar itu selepas Manohara dan Daisy masih gagal melantik peguam untuk menjawab saman berkenaan, yang difailkan anakanda Sultan Kelantan itu pada 20 Julai lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Shazali Hidayat Shariff, membuat keputusan itu dalam kamar di hadapan Peguam Tengku Muhammad Fakhry, Mohd Haaziq Pillay.

Minggu lalu, Shazali Hidayat menetapkan semalam sebagai tarikh akhir untuk Manohara dan ibunya melantik peguam selepas firma guaman Fakrul Hisham Abdullah and Associates menarik diri daripada mewakili mereka.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan firma guaman itu untuk menarik diri daripada mewakili defendan.

Berdasarkan Aturan 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, mahkamah dibenarkan mengeluarkan perintah penghakiman ingkar, iaitu keputusan mengikat yang berpihak kepada plaintif jika defendan gagal mengambil apa-apa tindakan terhadap saman atau tidak hadir di mahkamah dalam tempoh 14 hari saman diserahkan.

Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan saman RM105 juta terhadap isteri dan ibu mentuanya kerana didakwa memfitnahnya pada sidang akhbar antara April dan Jun lalu. Manohara antara lain mendakwa beliau didera secara fizikal dan seksual oleh suaminya.

Anakanda Sultan Kelantan itu turut mengemukakan dua saman lain di Mahkamah Syariah, iaitu menuntut supaya Manohara diperintah pulang kepadanya dan kembalikan wang RM1 juta yang didakwa dipinjam oleh Manohara.

Mohd Haaziq ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata beliau akan memfailkan notis taksiran tuntutan minggu depan dan jumlah sebenar ganti rugi itu akan diputuskan mahkamah kemudian.

Ketika hubungi Berita Harian pula, Mohd Haaziq menjelaskan nilai ganti rugi sebenar mungkin melebihi RM105 juta yang difailkan atau berkurangan bergantung kepada budi bicara mahkamah dan keadaan kes termasuk kesan yang ditanggung plaintif serta berita yang tersebar ke seluruh dunia sehingga mengaibkan kerabat diraja.

"Wang bukanlah persoalan utama, tetapi yang penting bagi anak guam saya adalah untuk membersihkan namanya terhadap tohmahan yang dilemparkan Manohara dan Daisy. Kegagalan Manohara dan Daisy menjawab saman dan hadir ke mahkamah walaupun diberi cukup peluang adalah bukti bahawa dakwaan mereka sebelum ini adalah fitnah," katanya.

sumber: berita online

Photobucket

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails